Laman ini ibarat taman penuh ketenangan yang bertinta cinta rindu terhadap Pencipta Yang Maha Agung-

Laman Ini Umpama Taman Idaman Penuh Ketenangan Bertinta Cinta Dan Rindu Terhadap Khalik Yang Maha Pengasih Pengampun

http://www.ummutalhah.blogspot.com

05‏/01‏/2011

Al-Tahrim 1-5: Pengajaran dan Iktibar Untukmu Bergelar Isteri dan Jangan Salah Faham

Kehidupan di alam perkahwinan tidak dapat lari daripada ujian dan dugaan. Justeru para suami dan isteri perlu bijak menangani dan menyelesaikannya berdasarkan panduan Al-Qur'an dan nasihat yang telah diajar dan ditinggalkan oleh Rasulullah saw iaitu al-Sunnah. Rumahtangga akan disinari rahmat dan petunjuk ilahi sekiranya pasangan suami isteri sentiasa berpegang kepada prinsip al-Qur'an dan al-sunnah  dan mengamalkan segala panduan tersebut di dalam kehidupan berumahtangga.

Di dalam al-Qur'an telah dipaparkan bagaimana peristiwa yang telah berlaku dalam rumahtangga Rasulullah dengan isteri -isteri baginda iaitu Hafsah, Aisyah dan Zainab. Kisah berkenaan Rasulullah dalam menghadapi perwatakan isterinya ini ada dalam  surah at-Tahrim ayat 1-5.

Dalam kisah tersebut, beberapa orang isteri nabi (Hafsah dan ‘Aisyah) berasa cemburu dengan Zainab yang telah menghidangkan madu yang menjadi kegemaran Rasulullah kepada baginda nabi Muhammad saw. Lalu Hafsah dan Aisyah telah berpakat supaya mereka berdua mengatakan mulut nabi berbau pada masa dan tempat yang berlainan.

Nabi mengharamkan madu kepada diri baginda hanya untuk menyenangkan hati para isteri baginda. Lalu Allah menceritakan perihal bicara Aisyah dan Hafsah ini kepada Rasulullah. Teguran Allah terhadap Rasulullah kerana mengharamkan meminum madu yang halal untuk mencari keredhaan isteri-isterinya dan teguran tentang sikap para isteri baginda juga telah tercatat di dalam surah al-tahrim ayat 1-5.


يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ لِمَ تُحَرِّمُ مَا أَحَلَّ اللَّهُ لَكَ ۖ تَبْتَغِي مَرْضَاتَ أَزْوَاجِكَ ۚ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌWahai Nabi! Mengapa engkau haramkan (dengan bersumpah menyekat dirimu daripada menikmati) apa yang dihalalkan oleh Allah bagimu, (kerana) engkau hendak mencari keredhaan isteri-isterimu? (Dalam pada itu, Allah ampunkan kesilapanmu itu) dan Allah sememangnya Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
 قَدْ فَرَضَ اللَّهُ لَكُمْ تَحِلَّةَ أَيْمَانِكُمْ ۚ وَاللَّهُ مَوْلَاكُمْ ۖ وَهُوَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ                                       
 Sesungguhnya Allah telah menetapkan bagi kamu (wahai Nabi dan umatmu, untuk) melepaskan diri dari sumpah kamu (dengan membayar denda iaitu kaffarah) dan Allah ialah Pelindung yang mentadbirkan keadaan kamu dan Dia Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana

.وَإِذْ أَسَرَّ النَّبِيُّ إِلَىٰ بَعْضِ أَزْوَاجِهِ
حَدِيثًا فَلَمَّا نَبَّأَتْ بِهِ وَأَظْهَرَهُ اللَّهُ عَلَيْهِ عَرَّفَ بَعْضَهُ وَأَعْرَضَ عَنْ بَعْضٍ ۖ فَلَمَّا نَبَّأَهَا بِهِ قَالَتْ مَنْ أَنْبَأَكَ
هَٰذَا ۖ قَالَ نَبَّأَنِيَ الْعَلِيمُ الْخَبِيرُ

Dan (ingatlah), ketika Nabi memberitahu suatu perkara secara rahsia kepada salah seorang dari isteri-isterinya. Kemudian apabila isterinya itu menceritakan rahsia yang tersebut (kepada seorang madunya) dan Allah menyatakan pembukaan rahsia itu kepada Nabi, (maka Nabi pun menegur isterinya itu) lalu menerangkan kepadanya sebahagian (dari rahsia yang telah dibukanya) dan tidak menerangkan yang sebahagian lagi (supaya isterinya itu tidak banyak malunya). Setelah Nabi menyatakan hal itu kepada isterinya, isterinya bertanya: Siapakah yang memberi tahu hal ini kepada tuan? Nabi menjawab: Aku diberitahu oleh Allah Yang Maha Mengetahui, lagi Amat Mendalam PengetahuanNya(tentang segala perkara yang nyata dan yang tersembunyi
إِنْ تَتُوبَا إِلَى اللَّهِ فَقَد
 صَغَتْ قُلُوبُكُمَا ۖ وَإِنْ تَظَاهَرَا عَلَيْهِ فَإِنَّ اللَّهَ هُوَ مَوْلَاهُ وَجِبْرِيلُ وَصَالِحُ الْمُؤْمِنِينَ ۖ وَالْمَلَائِكَةُ بَعْدَ
ذَٰلِكَ ظَهِيرٌ

jika kamu berdua bertaubat kepada Allah (wahai isteri-isteri Nabi, maka itulah yang sewajibnya),
 kerana sesungguhnya hati kamu berdua telah cenderung (kepada perkara yang menyusahkan Nabi) dan jika kamu berdua saling membantu untuk (melakukan sesuatu yang) menyusahkannya, (maka yang demikian itu tidak akan berjaya) kerana sesungguhnya Allah adalah Pembelanya dan selain dari itu Jibril serta orang-orang yang soleh dari kalangan orang-orang yang beriman dan malaikat-malaikat juga menjadi penolongnya.;
عَسَىٰ رَبُّهُ إِنْ طَلَّقَكُنَّ أَنْ يُبْدِلَهُ أَزْوَاجًا خَيْرًا مِنْكُنَّ مُسْلِمَاتٍ مُؤْمِنَاتٍ قَانِتَاتٍ تَائِبَاتٍ عَابِدَاتٍ سَائِحَاتٍ ثَيِّبَاتٍ وَأَبْكَارًاBoleh jadi, jika Nabi menceraikan kamu, Tuhannya akan menggantikan baginya isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu, yang menurut perintah, yang ikhlas imannya, yang taat, yang bertaubat, yang tetap beribadat, yang berpuasa, (meliputi) yang janda dan yang anak dara.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari Neraka yang bahan-bahan bakarannya: Manusia dan batu (berhala); Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.


Pengajaran daripada hadith

Saidina Umar al-Khattab r.a meriwayatkan kisah berkenaan sikap wanita (iaitu para isteri golongan Muhajirin dan Ansar serta anak perempuan beliau yang menjadi isteri Rasulullah saw iaitu Hafsah r.a).

"Kami orang-orang Quraisy juga terkenal dengan menguasai isteri-isteri kami dan dahulunya kami tidak pernah menyertakan mereka dalam urusan kami. Ketika kami datang dan tinggal di kalangan orang-orang Ansor kami mendapati mereka itu telah dikalahkan oleh isteri-isteri mereka. Maka setelah itu mulailah isteri-isteri kami belajar mengambil adab dan sikap daripada wanita-wanita Ansor. Sehinggakan pada suatu hari ketika aku mengherdik isteriku dan bersuara keras kepadanya maka dia pun menjawab dan berdebat denganku.

Dia juga selalu mengikutiku dalam urusanku dengan mengatakan: “Alangkah baiknya kalau engkau melakukan hal sebegitu dan begini.” Melihatkan hal tersebut maka aku pun mengingkari perbuatannya. Lalu dia pun menjawab dan membalas dengan berkata : “ Mengapa engkau (Umar) mengingkari apa yang aku lakukan sedangkan demi Allah, para isteri nabi pun berdebat ke atas baginda sehingga seorang daripada mereka pun ada yang sampai memboikat baginda dari siang hingga ke malam.” Kata isteri Umar.Hal itu mengejutkan aku lalu aku pun berkata kepadanya : “ Sungguh rugi orang yang melakukan perkara tersebut di kalangan mereka.”

Saidina Umar membangkang dan menegur sikap/ perbuatan isteri yang berbantah dengan suami


Lalu aku pun memakai pakaianku dengan lengkap dan segera menemui anak perempuanku iaitu Hafsah. Seterusnya aku pun berkata kepada Hafsah :
“ Wahai Hafsah, apakah benar ada di antara kalian semua (isteri-isteri nabi) yang memboikot nabi dari siang sehingga ke malam ? lalu dijawab oleh Hafsah dengan mengatakan ya. Aku pun berkata : “Sungguh rugi orang yang melakukan hal tersebut.”

Kemudian aku menambah : “Apakah kalian akan dapat merasa aman daripada kemurkaan Allah dan kemarahan rasulullah ? Janganlah kamu banyak menuntut kepada nabi dan janganlah kamu berdebat dengan baginda dalam sesuatu urusan pun serta janganlah kamu memboikotnya. Akan tetapi mintalah kepadaku apa yang kamu ingin minta dan janganlah kamu tertipu oleh madumu yang lebih cantik daripadamu dan lebih dicintai oleh rasulullah daripada kamu. (iaitu Aisyah)

Umar pun berkata lagi : “Telah menjadi perbincangan di kalangan kami bahawa Ghassan memakaikan ladam pada kuda mereka sebagai persiapan untuk memerangi kami dan pada suatu ketika kemudian temanku Al-Ansori itu pun pergi ke majlis nabi dan di waktu solat Insyak dia pun kembali kepada kami dan mengetuk pintu rumahku dengan keras sambil berkata : “Apakah Umar berada di dalam ? dan apabila aku keluar dia pun berkata : “Hari ini telah berlaku satu peristiwa besar.” Aku pun bertanya apakah Ghassan telah datang untuk memerangi kita ?

Maka dia pun menjawab bahkan lebih besar daripada itu. “Nabi telah menceraikan isteri-isteri baginda.” Katanya kepada ku. Lantas aku pun berkata alangkah ruginya Hafsah dan sungguh aku telah menyangka hal yang semacam ini akan terjadi.”
Oleh yang demikian aku pun segera bersiap dan pada waktu pagi selesai menunaikan solat Subuh bersama dengan baginda nabi maka aku pun mendapati nabi memasuki biliknya dan menyendiri di dalamnya. Maka aku segera ke rumah Hafsah dan mendapati dia sedang menangis. Lalu aku pun bertanya kenapakah dia menangis.

Aku pun turut memarahi Hafsah dan bertanya tentang apakah benar baginda telah menceraikan mereka ? Tetapi dijawab oleh Hafsah bahawa dia tidak mengetahuinya dan memberitahu nabi sedang menyendiri di dalam kubah dan memisahkan dirinya daripada semua isteri-isterinya.

Aku pun keluar daripada rumah Hafsah tersebut dan mendatangi mimbar nabi salallahualaihiwassalam dan di sana ada segolongan orang yang sedang menangis lalu aku pun duduk bersama mereka seketika sehingga aku pun bangkit lalu menuju ke kubah yang di dalamnya nabi berada. Aku pun berkata kepada Rabah, hamba berkulit hitam yang menjadi milik Nabi supaya memohon izin daripada baginda untuk membenarkan Umar masuk menghadap baginda. Maka masuklah Rabah ke dalam dan bercakap dengan Nabi dan kemudian dia pun keluar seraya berkata : “Aku telah berbicara kepada baginda rasulullah tetapi baginda hanya berdiam diri.

Lantas aku pun pergi daripada situ dan kembali berada bersama dengan orang-orang lain yang berada di Mimbar. Kemudian apabila perasaan menguasai diriku kembali maka aku pun meminta kepada Rabah lagi untuk memohon izin daripada nabi agar dapat menemuinya. Tetapi nabi tetap diam dan aku pun kembali ke tempatku. Tidak lama selepas itu aku pun bertanya lagi kepada Rabah dan sekali lagi Rabah pun membalas bahawa nabi tetap diam.

Akhirnya aku pun hampir berpaling dan beredar daripada tempat itu tiba-tiba Rabah pun memanggilku dan berkata nabi telah mengizinkan aku masuk. Maka aku pun masuk menemui nabi dan mendapati baginda sedang berbaring di atas tikar yang nipis tanpa katil sehingga kelihatan bekas-bekas batu di rusuk baginda dalam keadaan baginda berpangku di atas bantal yang diperbuat daripada kulit yang telah disamak dan diisi dengan sabut di dalamnya.

Aku pun mengucapkan salam kepada baginda dan berkata dalam keadaan berdiri : “Wahai rasulullah, apakah engkau telah menceraikan isteri-isterimu ?” Lalu baginda pun mengangkat pandangan baginda kepadaku dan menjawab : “Tidak.” Aku pun segera bertakbir : “Allahuakbar!” Kemudian aku pun berkata :

 “ Wahai Rasulullah, Dahulunya kita ini golongan Quraisy yang menguasai dan mengalahkan isteri-isteri kita tetapi apabila kita ke Madinah ternyata orang-orang mereka (Ansor) telah ditewaskan oleh isteri-isteri mereka.” Tujuanku ialah untuk menyenangkan baginda.

Maka Nabi pun tersenyum mendengar perkataanku dan aku pun berkata lagi.
Wahai Rasulullah seandainya engkau melihatku nescaya engkau akan tahu bahawa aku telah pun masuk menemui Hafsah dan mengatakan kepadanya : “Janganlah engkau terpedaya bahawa sesungguhnya madumu itu lebih cantik daripadamu dan lebih dicintai oleh Rasulullah darimu (iaitu Aisyah).”

 Lalu baginda nabi pun tersenyum lagi dan melihatkan hal yang sedemikian maka aku pun duduk.
Aku memandang tempat bilik baginda tersebut dan mendapati tiada apa-apa di situ kecuali kulit yang belum disamak maka aku pun berkata : “Wahai rasulullah, berdoalah moga kamu diberikan keluasan dan kesenangan buat umatmu kerana Parsi dan Rom telah disenangkan dunia mereka serta menikmati kemewahan dunia sedangkan mereka tidak beribadah kepada Allah.”

Kemudian baginda nabi pun duduk setelah sebelumnya baginda berpangku di atas bantal sambil bersabda : “Apakah engkau ragu wahai anak khattab sesungguhnya kesenangan di akhirat adalah lebih baik daripada kesenangan di dunia ? Mereka itu adalah orang-orang yang disegerakan kesenangan mereka di dunia ini.”

Maka aku pun meminta kepada baginda dengan berkata : “Wahai Rasulullah, mohonlah keampunan untukku.”

Setelah itu baginda Rasulullah pun memisahkan diri daripada isteri-isteri baginda selama 29 malam. Baginda sangat marah kepada mereka kerana telah menyebabkan Allah menegur baginda.

Maka aku pun berkata :”Wahai Rasulullah, janganlah menyusahkan dirimu kerana wanita kerana apabila engkau menceraikan mereka maka sesungguhnya Allah bersamamu dengan beserta para malaikatnya, Jibril dan Mikail dan aku serta Abu Bakar dan kaum mukminin pun ikut bersamamu.” (Hadis riwayat Bukhari no. 4913 dan Muslim no. 1479)

Pandangan Penulis

Daripada Surah al-tahrim dan hadith yang panjang di atas boleh diambil iktibar dan pengajaran untuk  kehidupan antara suami dan isteri di dalam rumahtangga. Sekiranya direnung dan diteliti dengan mendalam akan terpancarlah hikmah yang jelas mengapa diturunkan wahyu tentang kisah Rasulullah dan para isteri baginda.

Teguran dan nasihat Saidina Umar terhadap puterinya Hafsah juga perlu dijadikan teladan oleh para wali yang memiliki anak perempuan dengan menitipkan pesanan sebelum  memasuki alam rumahtangga bahawa tanggungjawab seorang isteri ialah sentiasa menyenangkan hati suami, tidak menyusahkan suami dengan sikap atau perbuatan yang boleh membawa kepada nusyuz, mentaati suami selagi tidak bercanggah dengan perintah Allah dan rasulNya.

Peringatan dan pengajaran yang boleh diambil oleh para isteri dari kisah berdasarkan surah al-tahrim dan hadith yang diriwayatkan oleh Umar al-Khattab ini sangat banyak, antaranya:

Jangan mudah bersikap salah faham dan membuat tafsiran sendiri bahawa perasaan cemburu itu disukai dan diredhai oleh Allah dan Rasulnya. Dari sikap cemburu yang ditimbulkan oleh Hafsah ini, bukan hanya bapanya sendiri Umar menegurnya malah  menyebabkan Allah sendiri terus membuat teguran di dalam al-Qur'an.

Patutkah sebagai orang beriman  hendak mempertahankan lagi perasaan cemburu sekiranya sudah jelas bahawa cemburu adalah sifat negatif dan daripada bisikan syaitan yang sentiasa hendak melihat anak Adam mengikut telunjuknya. Munasabahkah isteri  yang solehah hendak menghiasi dirinya dengan  perwatakan cemburu yang boleh membawa kepada kemurkaan Ilahi.

Teliti juga bagaimana Rasulullah menghadapi sikap cemburu isteri baginda, apakah baginda tetap menerima dan redha dengan sikap mereka setelah Allah menjelaskan perkara yang sebenarnya. Bukankah Rasulullah juga pernah menjauhkan diri daripada isteri-isterinya kerana sikap cemburu yang ditimbulkan mereka itu.

Janganlah kerana hendak memuaskan hati sendiri dan membiarkan perasaan cemburu bermaharajalela dalam hati, kita mengatakan bahawa 'isteri-isteri nabi pun ada perasaan cemburu, kita manusia biasa apa lagi tentu tidak dapat mengelak dan membuang perasaan cemburu ini'.

Tidak sedikit dari para isteri di hari ini berpegang dan tetap pendiriannya mengatakan 'perasaan cemburu  pun perlu ada juga dan sudah menjadi fitrah  lebih-lebih lagi pada seorang isteri'. Sebenarnya dengan prinsip sebegini seolah-olah kita telah meletakkan diri di dalam keegoan, mementingkan diri dan membiarkan keinginan nafsu mendahului akal dan kehendak Ilahi. 

Jika kita meneliti dan mendalami asbab nuzul ayat dalam surah al-Tahrim serta membaca kisah di atas dengan mata hati tentu kita tidak mudah melatah dan membiarkan perasaan kita mendahului firman Allah dan Rasulullah saw serta sahabat r.a.

Perlu memahami maksud dan hikmah tersirat bahawa pembentangan kisah dan perwatakan  para isteri nabi adalah sebagai pengajaran dan iktibar. Bukannya kita perlu mencontohi sikap cemburu yang ditimbulkan oleh mereka yang hidup di dalam rumahtangga berpoligami. Sebaliknya ambillah contoh teladan  kisah dan perwatakan wanita di dalam surah al-tahrim berkenaan isteri Firaun iaitu Asiah dan juga Maryam bint Imran.  . Sebenarnya banyak lagi kisah dan teladan tentang isteri Rasulullah dan para sahabat yang perlu diikuti oleh wanita akhir zaman ini. Sama-sama muhasabah.

Bersambung...







ليست هناك تعليقات:

إرسال تعليق